Saturday, 29 September 2012

Usah Leka Jaga Iman


APABILA iman lemah, maka mudah sekali melakukan dosa dan maksiat. Apabila maksiat meningkat, bantuan Allah untuk dipelihara daripada syaitan berkurang dan tiada.
Rasulullah sendiri sering berdoa: “Wahai Allah yang boleh membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas jalan agama-Mu”. Baginda juga memohon Allah memelihara hala tuju perasaannya supaya tidak menyimpang dari hala tuju yang ditentukan Allah menuju kepada yang tertinggi.
Doa baginda: “Wahai Allah yang menguruskan hati, uruskanlah hati kami di atas ketaatan kepada-Mu”. Rasulullah juga berdoa pada siang dan malam di dalam zikirnya: “Wahai Allah, sesungguhnya saya berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kefakiran”.
Adakah kita mengetahui bahawa Umar al-Khattab yang memisahkan imannya antara yang hak dan batil, syaitan cabut lari daripada menghampirinya dan terdapat garisan hitam di wajahnya lantaran banyak menangis kerana takutkan Allah?
Adakah kita mengetahui bahawa beliau pernah mengecam dirinya kerana kekurangan iman? Maka terdedah kepada dosa yang lebih besar.
Kali ini penulis ingin mengingatkan tentang tanda-tanda berkurangnya iman supaya kita lebih bersungguh menjaga iman sebagaimana nabi dan sahabat antaranya ialah:
  1. Terus menerus melakukan dosa dan tidak berasa bersalah.
  2. Berhati keras dan tidak berminat untuk membaca al-Quran.
  3. Lambat melakukan kebaikan, seperti terlambat untuk melakukan solat.
  4. Meninggalkan sunnah, sunat dan wajib
  5. Memiliki suasana hati yang gelisah seperti bosan dalam kebaikan.
  6. Tidak berasakan apapun ketika mendengarkan ayat al-Quran dibacakan seperti ketika Allah mengingatkan tentang hukuman dan janji-Nya tentang khabar baik dan akibat berbuat jahat.
  7. Berat dalam mengingat Allah.
  8. Tidak berasa risau ketika keadaan berjalan bertentangan dengan syari’ah.
  9. Terlalu bersemangat dengan kedudukan dan bimbang kehilangan jawatan.
  10. Kedekut dan bakhil, tidak mahu membahagikan rezeki yang dikurniakan Allah.
  11. Memerintahkan orang lain untuk berbuat kebaikan sementara dirinya sendiri tidak melakukannya.
  12. Berasa senang di atas kegagalan orang lain
  13. Hanya memperhatikan yang halal dan haram, dan tidak menghindari yang makruh.
  14. Mempermainkan orang yang berbuat kebaikan kecil.
  15. Tidak mahu memperhatikan keadaan dan musibah yang ditanggung kaum muslimin.
  16. Tidak berasa bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu demi kemajuan Islam.
  17. Tidak mampu menerima musibah yang menimpanya malah menyalahkan takdir, hanya boleh terima takdir baik sahaja.
  18. Suka membantah, hanya untuk berbantah-bantahan, tanpa memiliki bukti.
  19. Hanya bersemangat untuk pekerjaan duniawi sebaliknya tidak bersemangat perkara ukhrawi.
  20. Berasa bangga dengan kebaikan sendiri, sombong dan bongkak dengan kedudukan, malah banyak lagi.
Beberapa cara untuk meningkatkan keimanan kita:
  1. Tilawah Al-Quran dan mentadabburi maknanya, hening dan dengan suara yang lembut tidak tinggi, maka insya-Allah hati kita akan lembut. Yakinkan bahawa Allah sedang berbicara dengan kita.
  2. Menyedari keagungan Allah. Segala sesuatu berada dalam kekuasaannya. Banyak hal di sekitar kita yang kita lihat yang menunjukkan keagungan-Nya kepada kita.
  3. Segala sesuatu terjadi sesuai dengan kehendak-Nya. Allah maha menjaga dan memperhatikan segala sesuatu, bahkan seekor semut hitam yang bersembunyi di balik batu hitam dalam kepekatan malam sekalipun.
  4. Berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan setidaknya hal-hal dasar yang dilakukan dalam kehidupan seharian seperti cara solat dan berwuduk dengan betul, mengetahui erti daripada nama dan sifat-Nya. Orang yang bertakwa adalah mereka yang berilmu.
  5. Menghadiri majlis zikir yang mengingat Allah. Malaikat mengelilingi majlis seperti itu.
  6. Selalu menambah perbuatan baik lainnya. Allah akan memudahkan jalan bagi seseorang yang bersedekah dan memudahkan jalan bagi orang yang berbuat kebaikan. Amal kebaikan harus dilakukan secara berterusan.
  7. Berasa takut kepada akhir hayat yang buruk. Mengingat kematian akan mengingatkan kita daripada terlena terhadap kesenangan dunia.
  8. Mengingat tahap kehidupan akhirat, peringkat ketika kita diletakkan dalam kubur ketika kita diadili ketika kita dihadapkan pada dua kemungkinan, akan berakhir di syurga atau neraka.
  9. Berdoa, menyedari bahawa kita memerlukan Allah. Berasa kecil di hadapan Allah.
  10. Cinta kita kepada Allah harus kita tunjukkan dalam tindakan. Kita penuh berharap semoga Allah berkenan menerima solat kita dan senantiasa berasa takut akan melakukan kesalahan.
  11. Malam hari sebelum tidur sepatutnya kita bermuhasabah memperhitungkan perbuatan kita sepanjang hari itu.
  12. Menyedari akibat daripada berbuat dosa dan pelanggaran. Iman seseorang akan bertambah dengan melakukan kebaikan dan menurun dengan melakukan perbuatan buruk.
  13. 13.Semua yang terjadi adalah kerana Allah menghendaki hal itu terjadi. Ketika musibah menimpa kita, itupun   daripada Allah.



Pemakaian Cincin Mengikut Islam


“Nasihat Nabi Muhammad S.A.W kepada Saidina Ali sesudah Saidina Ali berkahwin dengan Siti Fatimah iaitu anakanda kesayangan Nabi Muhammad S.A.W berpesan kepada Saidina Ali iaitu kalau memakai cincin, pakailah di jari:
  • 1] jari manis
  • 2] jari kelingking (anak jari)
dan janganlah memakai pada jari
  • 1] jari tengah
  • 2] jari telunjuk
Nabi Muhammad SAW melarang kerana memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah adalah meniru cara berhias kaum yang dilaknat oleh Allah iaitu kaum yang derhaka dizaman Nabi Lut a.s.
Perhatian: Cara memakai cincin adalah termasuk lelaki ataupun perempuan. Muslimin dan Muslimat, sila nasihatkan kawan-kawan dan juga saudara-mara ataupun anak-anak tentang kaedah yang betul untuk berhias di dalam syariat Islam, kalau tidak sia-sia saja kita mendapat kecelakaan dari Allah dan kalau kita memakai cincin dengan niat mengikut sunnah Nabi S.A.W maka dapatlah kita akan pahala.
Adapun tentang jari mana yang hendak didahulukan ketika memotong kuku, al-Imam Ibn Hajar al-’Asqalani (10/345) menyebut:
“Tidak thabit dalam tertib jari-jari ketika memotong kuku sesuatu hadithpun… Ibn Daqiq al-’Ied telah mengingkari bentuk (memotong kuku) yang telah disebut oleh al-Ghazali dan orang yang mengikutnya, dengan berkata: “Semua cara-cara itu tidak ada asalnya, dan untuk mengatakan ia suatu yang digalakkan, ianya suatu yang tidak ada dalilnya, ia merupakan suatu yang tercela di sisiku, sekiranya seseorang menggambarkan, cara memotong kuku dimulakan dengan jari telunjuk tangan kanan disebabkan kemuliaannya, maka jari-jari yang lain, dia tidak akan dapat menentukannya dengan cara itu. Ya! memulakan dengan yang kanan samaada tangan ataupun kaki itu ada asalnya, kerana Nabi S.A.W. suka memulakan sesuatu dengan sebelah kanan.”

Pengajaran Sebalik Kontroversi Azan


ISU bantahan peguam yang menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Lembah Pantai membantah laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah dianggap selesai apabila kelmarin, peguam terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua umat Islam.
Tindakan peguam berkenaan mendapat bantahan seluruh umat Islam, maka wajarlah permohonan maaf dibuat kepada seluruh umat Islam di negara ini.
Azan, syiar Islam yang bermula di Madinah pada tahun pertama hijrah seperti disebut dalam hadis diriwayatkan Abdullah bin Umar semasa orang Islam mula sampai di Madinah dan berkumpul menunggu menunaikan solat tetapi tiada yang menyeru untuk bersembahyang.
Maka Rasulullah SAW pada satu hari mengumpulkan sahabat untuk membincangkan cara mengingatkan umat Islam mengenai masuk waktu solat dan mengajak mereka ke masjid menunaikan solat berjemaah.
Dalam perbincangan itu, ada mencadangkan supaya dikibarkan bendera, ditiupkan serunai atau terompet, dibunyikan loceng dan dinyalakan api di atas bukit. Namun, semua usul itu ditolak Nabi Muhammad SAW kerana sama dengan amalan agama lain seperti Nasrani (Kristian) dan Yahudi.
Kemudian Saidina Umar mencadangkan supaya dilaungkan ayat ‘telah datang waktu solat’ dan cadangan itu diterima Nabi, tetapi Baginda menukar lafaznya kepada ‘marilah solat berjemaah’.
Sehinggalah pada suatu malam Abdullah bin Zaid dan Umar bin al-Khattab sama-sama bermimpi, mengenai cara lebih baik untuk menghebahkan solat dengan mengumandangkan ‘azan’ seperti yang ada pada hari ini.
Apabila mimpi sahabat disampaikan kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: “Mimpi itu mimpi yang benar.” Lalu Nabi memerintahkan Bilal bin Rabah melaungkan azan pada setiap kali masuk waktu solat.
Untuk solat Jumaat, dua kali azan iaitu pertama menandakan masuk waktu Zuhur memanggil orang Islam ke masjid dan kali kedua sejurus sebelum imam memulakan khutbah Jumaat.
Manakala azan Subuh semasa zaman Rasulullah SAW dikumandangkan sebanyak dua kali seperti dilakukan di Masjidilharam.
Pertama, selepas berlalunya separuh malam untuk memberitahu umat Islam waktu Subuh sudah hampir dan waktu itulah mereka digalakkan bersembahyang sunat tahajud dan sebagainya atau bersahur untuk berpuasa.
Azan kedua diperdengar ketika masuk waktu Subuh dengan tambahan lafaz ‘solat itu lebih baik daripada tidur’. Azan juga sunat dibisikkan ke telinga bayi lelaki baru lahir.
Dalil mensyariatkan seruan azan ialah firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang…” (Surah al-Ma’idah, ayat 58).
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Keajaiban syiar Islam dalam azan ini terbukti apabila azan akan berkumandang di setiap minit selama 24 jam sehari di seluruh dunia berdasarkan perbezaan waktu dan tempat.
Ribuan bilal akan melaungkan azan Subuh seawal 5.30 pagi, bermula di bahagian timur Indonesia dan bergerak ke barat kepulauan Indonesia.
Belum pun laungan azan itu selesai di seluruh Indonesia, azan akan bergema pula di Malaysia, kemudian disambut di Thailand, Myanmar, China dan seterusnya. Azan akan terus bersahutan di Bangladesh dan bergema pula di India.
Sebelum berakhir di Pakistan, laungan azan Subuh akan dilaungkan di Afghanistan dan Oman, kemudian di Emiriah Arab Bersatu, di tanah suci Makkah, Madinah dan negara lain. Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik dalam jangka masa sembilan jam setengah.
Sebelum azan subuh bergema di situ, azan Zuhur sudah berkumandang di Indonesia semula dan begitulah seterusnya laungan azan akan bersahut-sahutan di serata pelusuk dunia melaungkan keagungan Allah dan Nabi Muhammad SAW setiap detik, sepanjang waktu.
Semoga selepas ini tidak ada lagi pihak mempertikaikan amalan agama masyarakat di negara ini.
Janganlah menghuru-harakan keadaan masyarakat yang hidup dalam rukun dan damai. Walaupun permohonan maaf dibuat, namun hakikatnya ada yang tersinggung dengan tindakan itu.
Perbuatan menghina amalan agama sesuatu masyarakat tidak sepatutnya berlaku kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk, berbilang bangsa, agama dan kepercayaan.
Cuba bayangkan jika umat Islam mempertikai amalan upacara keagamaan lain seperti amalan membunyikan loceng di kuil pada waktu Maghrib atau membakar colok di tokong yang mengeluarkan asap serta bau tidak menyenangkan, sudah tentu penganut agama itu akan marah.
Hakikat agama Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain bebas untuk dianuti seperti termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan perlu difahami dan dihormati masyarakat bukan Islam.
Agama Islam yang diletakkan di bahagian awal dalam Perlembagaan membawa makna yang besar dari segi peranan, kedudukan dan keutamaannya.




Doa Malaikat, Pahala Besar Buat Jemaah Bersolat Di Saf Depan

0



Kita biasa melihat jemaah yang memenuhi saf depan ketika bersolat jemaah di masjid atau di surau, kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas. Kalau ada anak muda sekali pun, maka ia boleh dihitung dengan jari.

Yang muda, yang gagah bertenaga dan belia remaja santai lebih selesa bersolat di barisan saf belakang. Tahukah kita bahawa beruntungnya jika kita bersolat di saf paling hadapan kerana kita akan didoakan oleh malaikat dan mendapat ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT.
Rasulullah SAW ada berpesan kepada kita semua: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat berselawat kepada orang yang berada di saf yang pertama.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban). Inilah bukti anjuran Islam dalam menggalakkan umat agar berebut untuk menunaikan solat di barisan pertama.
Kemudian Rasulullah SAW juga mengatakan bahawa jika manusia mengetahui fadilat bersolat di saf hadapan, nescaya mereka berebut-rebut untuk mendapatkan tempat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).
Jadi, seharusnyalah kita sebagai umat Islam bermotivasi untuk berada di saf depan ketika melaksanakan solat berjemaah. Sekarang marilah kita secara jujur meninjau keadaan di masjid dan surau ketika ini yang menunjukkan betapa ramai di kalangan kita sudah tidak menghiraukan akan pesanan Nabi kita agar mengambil peluang untuk berada di saf depan.
Dalam keadaan dewasa ini, kita terpaksa akui bahawa kebanyakan daripada kita sudah tidak mementingkan kelebihan berada di saf depan ketika menunaikan solat. Apa yang penting, asalkan solat berjemaah saja?
Marilah kita ghairah untuk merebut tempat di saf pertama setiap kali mendirikan solat berjemaah. Tanamkan azam yang mantap supaya kita tidak ketinggalan saf itu. Untuk menjayakan visi itu maka hendaklah kita segera ke masjid untuk solat berjemaah.
Marilah kita hayati peringatan Nabi SAW ini: “Sebaik-baik saf orang lelaki ialah yang pertamanya dan yang paling buruk ialah yang terakhir, dan saf wanita yang terbaik ialah yang terakhirnya dan yang paling buruk ialah yang paling hadapan.” (Hadis riwayaat Abu Daud, At-Tirmidzi).
Ini ada satu kisah bagaimana Nabi SAW mendidik sahabat dalam mengerjakan solat berjemaah. Daripada Sa’ed Al-Khudry R.A. bahawa Rasulullah SAW mendapati ada di kalangan sahabatnya melambat-lambatkan diri mereka untuk menyertai saf pertama, lantas Baginda SAW mengingatkan mereka:
“Ke hadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah akhirnya memasukkannya ke dalam neraka.” (hadis riwayat Muslim). Perhatikan baik-baik akan sabda Nabi SAW itu. “….akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan meninggalkan saf yang pertama…”. Mungkin kitalah kaum yang dikatakan Nabi SAW itu? Fikir dan renungkanlah.
Dalam sebuah hadis lain Nabi SAW ada mengatakan: “Hadirilah solat Jumaat, dan hampirilah imam kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan berterusan menjauhkan sehingga ia akan dilambatkan daripada memasuki syurga walaupun ia memasukinya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Sewajarnya pesanan Nabi SAW itu menjadi pedoman buat kita supaya tidak membiarkan diri memilih saf belakang untuk bersolat jemaah di masjid. Jangan biarkan diri kita berasa selesa dan seronok bersolat di saf belakang, sebaliknya mulalah memilih dan segera mara ke saf paling depan dan hampir dengan imam.
Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa solat berjemaah yang berkualiti ialah solat seseorang yang di saf paling hadapan. Inilah golongan yang didoakan malaikat dan mendapat jaminan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah.

Rahsia Di Sebalik Pangkal Nama Menurut Islam


BAYANGKAN dengan jumlah penduduk Malaysia kini yang menjangkau 26 juta orang, pastinya ada 1,001 jenis nama yang menjadi kebanggaan individu mahupun keturunan di dalam sesebuah keluarga.
Namun, di sebalik nama glamor atau pelik yang cuba didaftarkan dalam sijil kelahiran, tidak semua nama sebenarnya boleh diberikan kepada anak dengan sewenang-wenangnya.
Sebagai contoh nama yang tidak digalakkan didaftarkan dalam sijil kelahiran ialah seperti Bulat, Buang, Pungut atau juga Tumpang, di samping nama gelaran keturunan bagi yang layak saja.
Syed, Sharifah, Nik,Wan, Raja dan Tun adalah antara nama gelaran istimewa yang diberikan oleh jalur keturunan seseorang, di mana ia begitu dijaga supaya kemuliaan nama gelaran itu kekal terpelihara ke generasi akan datang.
Ada juga keluarga dalam kelompok ini yang sensitif untuk memilih di kalangan mereka saja bila membabitkan soal perhubungan, jodoh hinggalah ke gerbang perkahwinan, semata-mata untuk memelihara keturunan dan nama gelaran berkenaan. Cara sedemikian dilakukan bukan semata-mata `memilih bulu’, sebaliknya ditekankan kerana ingin memastikan zuriat keluarga mereka masih lagi memegang nama gelaran keluarga.
Walaupun berbau `agak perkauman’, masyarakat hari ini sedar dan bersikap terbuka dengan senario perkahwinan sesama gelaran sebagai kesinambungan kepada budaya dan susur galur keturunan.
Namun, di sebalik keistimewaan nama gelaran ini, ada juga masyarakat yang bertindak ‘menggugurkan’ atau dengan lebih tepat lagi menukar nama gelaran yang dimiliki dengan nama biasa.
Pegawai Perhubungan Awam Jainisah Mohd Noor, berkata Jabatan Pendaftaran tidak menghalang mana-mana individu yang berhasrat untuk menukar identiti seseorang sekiranya nama asal mereka mempunyai maksud yang kurang baik.
“Tetapi, tidak sewenangnya seseorang untuk menukar nama. Sebagai contoh mereka perlu mendapat pengesahan surat dari Jabatan Agama Islam atau mana-mana pertubuhan agama dianutinya sebagai bukti menyokong permohonan pertukaran nama berkenaan.
“Di samping itu, individu berkenaan juga perlu mengangkat sumpah yang mengesahkan tindakannya untuk menukar nama baru, sebelum kes berkenaan dirujuk ke Jabatan Pendaftaran untuk tindakan susulan,” katanya kepada i-Kon.
Beliau berkata, sebaik proses mengangkat sumpah selesai, individu terbabit sendiri perlu hadir untuk mengisi borang pindaan butiran membawa sekali butiran peribadi seperti kad pengenalan asal dan kelahiran. Katanya, sebaik segala proses pertukaran nama selesai barulah permohonan pertukaran nama disahkan oleh Jabatan Pendaftaran dalam tempoh tertentu.
Ditanya mengenai permohonan individu yang inginkan gelaran nama tertentu seperti Syed, Sharifah, Wan, Nik atau sebagainya, Jainisah berkata, gelaran nama keturunan itu tidak boleh diberikan sebarangan kecuali jika ia dapat dibuktikan menerusi susur galur keturunan dalam keluarganya.
“Sebagai contoh, Nik dan Wan. Nama ini tidak boleh didaftarkan individu yang tiada kena mengena dengan keturunan nama ini.
“Mengenai nama unik pula, kebanyakan permohonan nama sedemikian didaftarkan di Sabah dan Sarawak yang mempunyai banyak etnik kaum,” katanya yang menyatakan Jabatan Pendaftaran Negara tiada halangan bagi seseorang yang ingin mendaftarkan nama asalkan ia tiada maksud yang tidak baik.
Apa yang pasti, tidak kiralah pangkal nama individu itu kedengaran ‘pelik’ seperti Puteh, Khamis, Tumpang, Pungut mahupun Buang atau juga nama gelaran keturunan seperti Tunku, Tengku, Syed, Syarifah, Wan, Raja dan Nik kerana yang pasti keperibadian dan tingkah laku lebih mendapat perhatian.
Syed/Sharifah = Dosa/pahala berganda?
BENARKAH ini? Seorang rakan dari keturunan Syed, Sharifah berkata, keturunan Syed/Sharifah, kalau buat baik, pahala akan digandakan, begitu juga jika membuat dosa. Semuanya dikira double!
Mengapa? Entahlah, jawabnya tetapi kata rakan tadi, inilah yang diperturunkan kepadanya oleh keluarga. Adakah kerana mereka keturunan pewaris nabi, maka segala-galanya dikira `lebih’?
“Tidak. Tiada beza keturunan Syed, Sharifah dengan orang Islam yang lain. Dosa, pahala yang diterima sama saja seperti umat Islam yang lain walaupun mereka keturunan Rasulullah.
“Dalam hadis ada menyebut, Rasulullah pernah menyatakan kepada Fatimah bahawa baginda tidak mempunyai hak untuk membantu anaknya itu biarpun haknya sebagai Rasulullah,” kata Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Maznah Daud.
Begitu juga dengan anggapan keturunan ini mendapat dua syafaat di akhirat. Reputasi keturunan ini memang diakui dan kemuliaan keluarga mereka terjaga tetapi tidaklah sehingga mereka mendapat kelebihan ini. Jika mereka tidak beribadat dan tidak patuh pada ajaran Allah, mereka tetap menerima seksaan Allah yang keras.
Satu lagi perkara yang paling sinonim dengan keturunan ini ialah perkahwinan sesama keturunan. Banyak kes, perhubungan tidak direstui keluarga kerana anak-anak memilih calon di kalangan `orang biasa’. Hakikatnya, kata Prof Madya Maznah, walaupun mereka diakui kemuliaan keturunannya, tidaklah hingga golongan ini tidak boleh berkahwin dengan orang biasa.
Jika disorot sejarah silam, Baginda Rasulullah juga mengahwini orang biasa, malah seorang isterinya Sofiah adalah daripada bangsa Yahudi. Malah anak-anak baginda juga berkahwin dengan orang biasa. Seperkara lagi yang dikaitkan dengan keturunan ini ialah mereka tidak boleh menerima sedekah atau zakat.
Apa ada pada nama?
MEMILIKI nama dengan gelaran istimewa pasti memberi kelebihan, dan tidak kurang juga ‘tekanan’ khususnya bagi wanita yang dikatakan perlu bertemu jodoh dikalangan keturunan mereka semata-mata.
i-Kon cuba ‘menyelami’ identiti mereka yang mempunyai pangkal nama istimewa yang tidak dimiliki sebarangan orang dan berkongsi pandangan mengenai identiti mereka, asal usul keturunan dan pendapat mereka mengenai perkahwinan dalam keturunan mereka.
Nik Norma
PENUNTUT Ijazah Doktor Falsafah University of Canterbudy, New Zealand, Nik Norma Nik Hasan berbicara mengenai nama keluarganya yang mempunyai pangkal nama Nik di hadapan. Kata Nik Norma, dalam susur galur keluarganya mempunyai banyak gelaran nama dalam keluarga seperti Tengku, Tunku, Engku, Raja, Tuan, Che dan Nik, sekali gus mewarnai keturunan keluarganya.
Namun, beliau sendiri tidak dapat memastikan yang gelaran Nik pada nama keluarganya adalah dari kalangan keluarga di raja walaupun neneknya mempunyai gelaran Tengku. “Saya mewarisi nama Nik daripada ayah iaitu Nik Hasan Nik Yusuf walaupun ibu saya tidak mempunyai gelaran Nik.
“Apa yang saya difahamkan, gelaran Nik akan lupus dengan sendiri jika wanita bergelar Nik berkahwin dengan lelaki ‘biasa’,” katanya. Namun, katanya ada juga lelaki Nik yang tidak meneruskan tradisi meletakkan pangkal nama Nik pada anak mereka seperti yang dilakukan oleh bapa saudaranya. Apakah asal usul Nik?
“Dari apa diceritakan kepada saya, pada zaman Puteri Saa’dong (di selatan Thailand), ada seorang raja memerintah tidak memiliki cahaya mata. Justeru, raja berkenaan mengambil anak angkat lelaki.
“Seorang diperoleh dari buluh betung manakala seorang lagi daripada mulut ikan sebelah. Jadi, gelaran nama Nik ini diberikan kepada mereka sebagai membezakan dengan gelaran kerabat di raja lain,” katanya yang sehingga hari ini tidak pernah menikmati hidangan rebung dan ikan sebelah kerana kepercayaan yang mengatakan keturunan Nik tidak boleh menikmati kedua hidangan berkenaan.
Nik Norma berkata, dari kajian dari buku yang dilakukannya, ada juga pendapat yang mendakwa gelaran Nik berasal dari nama Tengku sekitar kurun ke-18 hingga ke-19 dan diteruskan sehingga kini. “Malah, ketika kakak saya ingin bersalin dia dikehendaki membentang kain kuning kerana dikatakan mudah ketika bersalin,” katanya yang gembira kerana memiliki gelaran Nik dan berharap dapat meneruskan tradisi nama gelaran itu kepada anaknya pada masa akan datang.
Aida
BERBEZA pula dengan Aida S Kadir, 36 yang tidak meletakkan nama Sharifah di pangkal nama, sedangkan bapanya adalah dari keturunan Syed. Nama sebenar bapanya ialah Sheikh @ Syed Abdul Kadir.
Kata Aida, susur jalur keturunan gelaran Syed dalam keluarganya ialah Sheikh @ Syed Abdul Kadir bin Sheikh @ Syed Omar bin Tunku Syed Abdul Rahman al-Qadri (Pembesar Linggi Negeri Sembilan) – pembesar Melayu zaman British.
Namun, bapanya juga tidak meletakkan nama Syed dengan alasan tidak mahu menunjuk-nunjuk kelebihan dan keistimewaan nama dimiliki keluarganya itu. Bagaimanapun, kata Aida, dua abangnya mengangkat sumpah untuk mendapatkan semula gelaran Syed dengan alasan untuk memelihara keturunan Syed pada generasi akan datang.
“Dari cerita bapa, saya dari keturunan al-Qadri dari Riau Sumetera, suku sakat yang membuka Negeri Sembilan. “Walaupun saya tidak memegang gelaran Sharifah, dua anak kembar saya yang berusia dua tahun dinamakan Putri iaitu Putri Maryam Idez Azlisham dan Putri Khadijah Idez Azlisham,” kata anak keempat dari lima beradik ini.
Info JPN
JPN hanya membenarkan nama yang panjangnya sehingga 94 aksara sahaja.Ini termasuklah nama bapa, perkataan bin, binti, a/l, a/p atau anak, koma dan sengkang.
Pendaftaran nama anak perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari dan boleh dikenakan denda RM5 bagi pendaftaran lewat iaitu antara 15 hingga 42 hari.
Pertukaran nama ini hanya boleh dilakukan dalam tempoh setahun saja selepas pendaftaran nama anak.

NAMA YANG DITEGAH ATAU DILARANG

Nama gelaran yang dianugerahkan kerajaan
Tun, Tan Sri, Datuk, Datin, Puan Seri, Dato Seri, Datuk Paduka, Datuk Patinggi, Datuk Wira Jaya, Datuk Bentara Dalam, Datuk Bentara Luar.
Nama pangkat atau jawatan
Haji, Nabi, Imam, Rasul, Mufti, Ketua Menteri, Kadi, Perdana Menteri, Gabenor, Sarjan, King, Hakim, Permaisuri, Guru, Ustaz, Shahbandar, Ustazah.
Gelaran keturunan
Syed, Sharifah, Tunku, Tengku, Nik, Wan, Raja
Nama profesional
Doktor (Dr), Ir (Engineer), Professor, Akauntan, Audit, Diplomat
Nama kepahlawanan
Mahaguru, Pahlawan, Pendekar, Panglima, Bomoh, Pawang, Dukun, Satria
Nama lucah atau yang lucah bunyinya
Nonok, Bontot, Bola Besar, Kote, Faraj, Shahwat, Zina, Kopek, Pundek, Punat, Khalwat, Zakar, Kulup, Coli, Liwat
Nama-nama buruk
Buruk, Malang, Sial, Derita, Haram, Pungut, Hapak, Baruah, Bunting

NAMA YANG TIDAK SESUAI

Nama binatang atau serangga
Babi, Monyet, Keldai, Rimau, Lipan, Buaya, Belalang, Semut, Ular
Nama buah-buahan, sayursayuran, tumbuhan, makanan
Ciku, Pisang, Keladi, Kucai, Terung, Karet, Serai, Jintan, Kunyit, Halia, Bawang Merah, Kelapa, Santan, Lidi, Nasi, Bubur, Ketupat, Laksa, Sirap, Cendol, Lempeng, Daun.
Nama-nama lucu
Kecut, Kutai, Kuyok, Boyak, Kudung, Pendek, Panjang, Tinjau, Apek, Lonjong, Kuding, Tunggal, Sinon, Ketiak, Leper, Kemek, Janggut, Tanduk, Kerepot
Nama-nama kejadian alam
Gunung, Salji, Suria, Pelangi, Awan, Bintang, Bulan, Guruh, Petir, Panas, Hujan, Bumi, Langit, Gelombang, Laut, Batu, Angkasa Nama-nama alat perkakas lSenduk, Piring, Mangkuk, Cawan, Katil, Tilam, Garpu, Tingkap, Pagar, Lesong, Berus, Parang, Tajak, Golok
Nama-nama warna
Hitam, Putih, Jingga, Merah, Coklat, Kuning
Nama-nama huruf atau angka atau gabungan kedua-duanya
D, K, P, Z, 001, 007, K 7, K 4, Zerozero Seven
Nama perhiasan atau pakaian
Cincin, Subang, Anting-anting, Mutiara, Benang, Kain, Baju, Rantai, Seluar, Kasut

PERKATAAN ARAB YANG MAKNANYA TIDAK ELOK

Narul (neraka), Zaniah (penzina perempuan), Zani (penzina lelaki), Khinzir (babi), Zakar (kemaluan lelaki), Faraj (kemaluan perempuan), Wati (persetubuhan).

NAMA INDIA YANG TIDAK ELOK MAKNANYA

Ammakannu, Andayan, Annachi, BatumalaiBotha, Baby, Ettikkan, Idache, Idayan, Kalavani, Kali, Karuppan, Kathammah, Madasamy, Mottayan, Muthammal, Mukayi (Mookayee), Mooli, MachappuPapa, Prayasamy, Periyannan, Sadachi, Sigappi, Sinnayee, Sengan, Satan, Sembu Setty, Thambi, Kulli, Thangachi, Udukayee, Uthandy, ValuVellayan, Valoo.

NAMA CINA YANG TIDAK ELOK MAKNANYA

Hokkian
Ah Chaw (ular), Ah Goo (kerbau), Ah Gong (orang gila), Ah Kooi (hantu), Ah Loo (keldai)
Kantonis
Ah Seh, Ah Nyau, Sor Chai, Ah Kwai
Mandarin
Ar Ser, Ar New, Ar Ngong, Ar Kwe, Ar Loo



Jagalah Hati Pasangan Anda

couple-holding-hands

PASANGAN adalah ‘sahabat’ kita yang paling rapat dan setia. Tak kira waktu suka, duka, pasangan kita pasti akan sentiasa berada di sisi.
Tapi seringkali kita menganggap pasangan sebagai orang terakhir yang perlu dijaga hatinya kerana mereka pasti akan menerima kita seadanya.
Ada yang mengambil mudah dari segi percakapan dan tidak menghormati pasangan sebagai mana mereka menghormati orang lain.
Dari segi penampilan pula, ramai yang mengambil kesempatan dengan tidak menjaga diri atau paras rupa kerana mereka tahu hakikatnya mereka sudah mempunyai pasangan yang akan menerima mereka walau apa pun yang terjadi.
Kalau ada yang beranggapan begitu pastikan anda ubah tanggapan tersebut kerana pasangan kitalah orang yang paling perlu dijaga dan hormati. Kita juga perlu tampil menarik untuk pasangan dan bukan untuk orang lain.
Penulis berminat untuk berkongsi satu ungkapan daripada tokoh motivasi tersohor negara, Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah, ujarnya; “Jika mahu diri disayangi, beri kasih sayang kepada orang dahulu”. Maksud lain yang dapat penulis simpulkan di sini ialah, jika kita mahu dihargai pasangan, maka kita harus memberikan yang terbaik kepada mereka barulah kita akan mendapat kebaikan yang sama juga.
Sesuai dengan topik kita cantik luaran dan dalaman, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah berhemah apabila berbicara, tampil dengan rupa yang menarik dan bersih serta menjaga hati pasangan dengan baik.
Bagi yang mahu berubah namun tidak tahu caranya, panduan di bawah mungkin boleh membantu.
Pertama: Paling penting dalam perhubungan ialah komunikasi yang baik.
Seringkali kita mengabaikan komunikasi yang baik dengan pasangan. Kata ganti nama diri seperti aku dan kau digunakan dalam perbualan harian, padahal lebih molek jika panggilan seperti ‘sayang’ atau ‘abang’ digunakan kerana itu boleh memupuk kemesraan.
Seperti persahabatan, pasangan yang baik perlu komunikasi yang jujur. Perlu bersedia untuk memberi pandangan, nasihat menasihati bila keadaan memerlukan. Jika salah seorang ingin meluahkan masalah, seorang lain perlu mendengar dengan baik.
Jangan pula cuba masuk campur dalam urusan pekerjaan dan keluarga jika tidak diminta. Jika ada yang berkecil hati, pastikan disuarakan dengan baik untuk mengelakkan salah faham yang lebih buruk.
Kedua: Anda dikehendaki menjadi pendengar yang setia. Bila pasangan anda dilanda masalah sebagai contoh di tempat kerja, bersedialah untuk menjadi pendengar dan jangan sesekali mengadili pasangan anda itu walaupun sebenarnya anda tahu bahawa dia yang punca masalah itu.
Apa yang perlu ialah dengar dan beri nasihat secara umum sahaja.
Ketiga: Memastikan bahawa anda tidak bertepuk sebelah tangan. Maknanya bukan anda sahaja yang menganggap pasangan anda itu perlu dihormati, malah dia juga perlu menghormati anda.
Jika ada sahabat lain yang mengutuk pasangan anda di belakangnya, andalah orangnya yang penuh yakin untuk menjadi pembela pasangan anda itu.
Tetapi jika memang pasangan anda melakukan kesalahan, terus-teranglah bahawa anda tidak selesa dia melakukan begitu, pilih perkataan yang sesuai untuk menegur dan tegurlah dengan berhati-hati agar tidak mengecilkan hatinya.
Seringkali kita mendengar rakan kita mengomel tentang bentuk tubuhnya yang semakin berisi dari hari ke hari.
Perkara yang amat lazim terjadi kepada wanita itu seperti lumrah terutama selepas melahirkan anak.
Memang ia amat merisaukan namun apa yang penting selain kerisauan itu ialah tindakan segera yang perlu diambil bagi menangani masalah tersebut.
Keempat: Laburlah sedikit wang untuk penampilan anda, tak kira sama ada untuk menguruskan badan, mencantikkan kulit, berbaju baru dan sebagainya semuanya ada harga yang perlu dibayar.
Namun percayalah ia adalah satu pelaburan yang baik demi perhubungan anda. Tapi tidak kira sama ada anda lelaki atau perempuan perlulah sama-sama mengambil berat tentang penampilan anda.
Kebersihan harus dijaga dan perlu amalkan disiplin diri. Pilihlah pakaian yang kemas dan pastikan anda melakukannya ikhlas untuk pasangan anda.
Jangan bila hendak ke kenduri atau berhari raya baru hendak bergaya. Sepatutnya bergayalah di rumah kerana ada mata dan perasaan yang lebih penting untuk dijaga.



Anda Bukan Gagal Tetapi Belum Berjaya…


Pernahkah sahabat menghadapi kegagalan. Gagal ketika exam, gagal dalam menganjurkan sebuah program ataupun dalam perkara yang lain. Dalam post ini saya ingin berkongsi ilmu yang diambil daripada sebuah buku karya Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah dan Dr.Fadzli Yusof iaitu 55 petua orang yang berjaya.
Saya tertarik dengan petua pertama yang ditulis dalam buku itu iaitu anda bukannya gagal tetapi belum berjaya.Sahabat-sahabat saya yang disayangi, kegagalan itu adalah ujian daripada Allah supaya kita lebih mengingati-Nya. Apa gunanya hidup tanpa ujian?
Kerana ujian itulah mentarbiyyahkan diri kita supaya menjadi lebih baik. Tidak perlulah saudara bersedih dengan kegagalan itu kerana bukan anda seorang sahaja yang ditempuhi dengan kegagalan, ramai lagi yang sama kes macam anda walaupun orang yang terkenal.
Cuba kita lihat seorang tokoh yang bernama Colonel Sanders. Siapa tidak kenal dengan beliau.Beliaulah founder KFC yang selalu orang ramai menikmatinya. Colonel Sanders juga menghadapi beberapa kegagalan dalam ingin mencipta resepi ayam goreng ciptaan diri beliau sendiri. Sikap beliau yang tidak pernah berputus asa dan yakin dia belum berjaya menyebabkan semakin hari semakin bertambah usaha beliau. Akhirnya beliau berjaya apabila orang yang ke-1009 berpuas hati dengan resepi beliau. Sembilan tahun kemudian, beliau membuka restoran beliau sendiri iaitu Kentucky Fried Chicken atau lebih dikenali sebagai KFC. Beliau mendapat keuntungan yang banyak dan restoran beliau menjadi terkenal di persada antarabangsa.
Dalam kisah tokoh di atas menunjukkan bahawa usaha dan tidak berputus asa adalah faktor utama yang penting dalam inginkan sesuatu kejayaan.Biarlah ditimpa dengan 1000x kegagalan asalkan suatu hari nanti pasti akan ada kejayaan itu. Saudara kena ingat bahawa Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Insyirah ayat 5-6 yang bemaksud:
“Sesungguhnya bagi setiap kesukaran itu akan akan ada kesenangan.(Sekali lagi ditegaskan)bahawa bagi setiap kesukaran itu akan akan ada kesenangan”.
Berpeganglah kepada ayat ini kerana ketika Nabi Muhammad S.A.W sendiri menghadapi kesukaran dalam mengerakkan dakwah Islamiah terhadap umat Baginda sendiri walaupun ditindas dengan para Musyrikin Mekah pada masa itu tetapi akhirnya berjaya menegakkan Islam di seluruh dunia dengan usaha serta pertolongan daripada Allah S.W.T. Tambahan pula, sahabat juga kena yakin bahawa Allah akan membantu diri anda tidak kira masa atau tempat sekiranya kita mengingati-Nya selalu. Berdoalah dan usahalah saudara sekalian agar capai kejayaan kerana Allah tidak akan bagi kejayaan itu sekiranya tanpa usaha walaupun mengeluarkan tangisan berdarah ketika berdoa kepada-Nya.
Akhir kata daripada saya, moga apa yang ditaip ini dapat memberi manfaat kepada sahabat sekalian dan diri saya sendiri. Apa gunanya saya menaip tips ini kalau saya juga tidak buat.Allah juga berfirman dalam surah As-Saff ayat 2 dan 3 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukannya”.
Bersamalah kita yakinkan diri kita bahawa diri kita bukannya gagal tetapi belum berjaya dan akan mencuba sedaya upaya untuk mencapai kejayaan.
Wallahualam….